HIKAYAT POCUT MUHAMMAD: KARYA
SASTERA MELAYU ACHEH YANG BERNILAI
TINGGI, SUMBANGANNYA KEPADA
PENGEMBANGAN KESUSASTERAAN
MELAYU INDONESIA
A. Hasjmy
(Indonesia)

 

Pendahuluan
DALAM kesempatan ini, saya bermaksud memperkenalkan sebuah karya sastera Melayu Acheh bernama Hikayat Pocut Muhammad, yang mana nilai sastera dan kandungannya adalah sangat tinggi dan menarik perhatian para sarjana Barat dan para sarjana dari Indonesia sendiri.

Terlebih dahulu biarlah saya jelaskan erti hikayat dalam kesusasteraan Melayu Acheh dan hal-hal yang berkaitan dengannya. Menurut Dr. Hoesein Djajadiningrat, hikayat mempunyai dua makna, iaitu:

(a) cerita sejarah dan
(b) sebuah bentuk dari kesusasteraan Melayu Acheh

Hikayat merupakan cerita sejarah, bentuknya prosa dan ditulis dalam bahasa Melayu Pasai (yang dalam perjalanan sejarah, dikenal sebagai bahasa Melayu Riau). Contohnya ialah, seperti Hikayat Acheh dan Hikayat Raja-Raja Pasai.

Hikayat-hikayat, sebagai cerita sejarah yang berbentuk prosa mahupun sebagai karya sastera yang berbentuk puisi, semuanya ditulis dengan huruf Arab Melayu atau tulisan ‘Jawoe’ (tulisan Jawi), sehingga ia menjadi khazanah perpustakaan yang kekal sampai sekarang. Di samping berserakan atau tidak terpelihara di rumah-rumah, kebanyakannya juga telah musnah dalam masa terjadi peperangan yang berjalan puluhan tahun lamanya di antara Kerajaan Acheh Darussalam dengan kerajaan Belanda. Didapati banyak bahan-bahan atau khazanah itu telah diangkut ke negeri Belanda.

Kalau melihat kepada isi kandungannya, secara garis besar hikayat itu dapatlah dibahagi kepada:

1. Hikayat Agama
2. Hikayat Sejarah
3. Hikayat Safari
4. Hikayat Peristiwa
5. Hikayat Jihad
6. Hikayat Cerita (novel).

Yang dimaksudkan dengan Hikayat Agama, ialah hikayat berisi berbagai ajaran agama Islam seperti hukum-hukum, akhlak, tasawuf, falsafah dan sebagainya. Sebagai contoh, seperti Hikayat Sipheuet Duaploh.

Hikayat Sejarah pula ialah hikayat berisi sejarah masa lampau, baik sejarah Islam mahupun sejarah lainnya. Seperti yang dapat dicontohkan ialah, Hikayat Hasan-Husin, Hikayat Perang Badar (Perang Badar Kubra) dan Hikayat Eelia Tujoh (Aulia Tujuh atau Ashaful Kahfi).

Hikayat Safari adalah sebuah hikayat yang menceritakan kisah perjalanan, la adalah seperti Hikayat Malem Dagang yakni sebuah hikayat yang meriwayatkan lawatan Armada Cakra Donya di bawah Sultan Iskandar Muda yang menuju ke Melaka untuk memerangi sidadu Portugis.

Hikayat Peristiwa pula menceritakan tentang sesuatu peristiwa atau kejadian. Seperti Hikayat Prang Kompeuni, ia mengisahkan peperangan yang dahsyat di antara kerajaan Acheh Darussalam dengan kerajaan Belanda. Sementara Hikayat Pocut Muhammad pula mengisahkan perang saudara sewaktu Acheh berada di bawah perintah Dinasti Syarif.

Hikayat Jihad ternyata mempunyai isi kandungan yang mampu menaikkan semangat berjihad untuk melawan pihak musuh. Contohnya ialah seperti Hikayat Perang Peuringgi, ia dikarang pada sekitar akhir abad ke-XIII Masihi. Hikayat Perang Peuringgi ini berupaya membakar semangat rakyat Acheh untuk berperang melawan penjajah Portugis. Dan yang paling terkenal daripada hikayat jenis ini ialah Hikayat Perang Sabi yang mana sebahagian besarnya adalah berisi ayat-ayat dan hadis-hadis Jihad. Ayat-ayatnya yang puitis itu dapat mem- bangkitkan semangat berperang kepada rakyat Acheh untuk melawan penjajah Belanda. Melaluinya rakyat Acheh sanggup berperang puluhan tahun lamanya dan Acheh tidak pernah menyerahkan kedaulatannya kepada penjajah Belanda.

Hikayat Cerita kebanyakannya adalah berisi cerita percinta- an, la adalah jenis roman (novel) dan bentuknya ialah sama ada roman fiksi mahupun roman sejarah. Hikayat dalam jenis ini banyak sekali dan sekadar contoh ialah seperti Hikayat Putrou Perkison, Hikayat Banta Beransah, Hikayat Yu Palingham dan lainnya.

Termasuk dalam jenis ini, hikayat roman melukiskan ke- adaan zaman pada sesuatu dinasti dalam kerajaan Acheh. Sebagai contoh, seperti Hikayat Nun Parisi ia menceritakan ke- adaan kerajaan Samudra/Pasai sewaktu di bawah pemerintah- an Sultan Malikus Salih. Sementara Hikayat Putrou Gumbak Meueh pula menceritakan keadaan kerajaan Acheh Darussalam berada di bawah pemerintahan Ratu Safistuddin.

Seorang sarjana Belanda yang terkenal yakni Dr. C. Snouck Hurgronje telah menulis huraian yang cukup jelas tentang hikayat dalam kesusasteraan Melayu Acheh.

 

Ciri-ciri Khas Hikayat Acheh

Ajaran Islam yang telah menjadi darah daging bagi rakyat Acheh ternyata telah mempengaruhi seluruh kehidupan dan penghidupannya termasuk bidang kesusasteraan. Jiwa keislaman jelasnya sudah menjadi ciri khas di dalam hikayat atau kesusas- teraan Melayu Acheh.

Di antara beberapa hal yang menjadi ciri khas di dalam hikayat-hikayat Acheh ialah:

  1. la dimulai dengan Bismillah.Hikayat itu selalu dimulai dengan nama Allah atau dengan bismillahir rahmanir rahim. Cara sedemikian menjadi suatu kelaziman bagi para pengarang Islam. Kemudian barulah diiringi dengan pujian kepada Allah s.w.t., selawat kepada Rasul-Nya dan selanjutnya di- lengkapi dengan sifat-sifat Allah dan tugas-tugas Nabi Muhammad.
  2. Tokoh-tokoh Utama Manusia Bersikap TaatTokoh-tokoh utama yang mengambil bahagian dalam sesebuah hikayat selalunya digambarkan se- bagai manusia yang taat kepada Allah, berakhlak mulia, berwatak seorang pahlawan, berhati budiman serta berpendidikan agama yang sempurna. Antara- nya dinyatakan juga bahawa tokoh-tokoh utama di dalam hikayat itu dari sejak kecil lagi sudah dapat menghafal al-Quran. Dia juga telah mempelajari dan menguasai berbagai-bagai kitab agama seperti ilmu hikmat, ilmu mantera dan ilmu memerintah (ilmu politik).
  3. Pengaruh Sasterawan PerangSyair-syair karya para sasterawan perang di zaman Nabi, seperti karya-karya Hassan bin Sabit, Ka’ab bin Malik dan Abdullah bin Rawahah, telah mempengaruhi sejumlah ulama sasterawan Melayu Acheh. Kesannya yang jelas ialah mereka itu tampil sebagai penyair perang terkenal dalam arena kesusas- teraan Melayu di Nusantara ini.Mereka itu ialah seperti Tengku Muhammad Pante Kulu, Abdul Karim (Do Karim), Tengku Chik Abbas Kutakarang, Tengku Muhammad Saman Tiro dan lain-lainnya. Hasil karya sastera (hikayat) mereka itu pernah muncul pada zaman yang bernama “Epic Era” (Masa Kepahlawanan). Dari merekalah lahir kesusasteraan epos (hikayat jihad) yang telah menggemparkan dunia penjajah sebagai contoh:
    1. Hikayat Perang Peringgi. la dicipta menjelang akhir abad XIV Masihi. la ada- lah sebuah karya sastera perang yang bertujuan untuk membangkitkan semangat berjihad di kalangan rakyat Acheh untuk melawan Portugis. Portugis di masa itu telah menjajah Melaka dan beberapa tempat lainnya di Semenanjung Tanah Melayu dan juga telah men- duduki beberapa tempat di pantai Acheh.
    2. Hikayat Perang Kompeuni. Hikayat itu dicipta oleh seorang ulama pahlawan bernama Abdul Karim, yang kemudian lebih dikenal dengan sebutan Do Karim. Hikayat tentang Perang Acheh itu dikarang menjelang akhir abad ke-XIX Masihi.

Hikayat Perang Sabil. Sebuah hikayat yang dicipta menjelang akhir abad ke-XIX Masihi oleh Tengku Chik Muhammad Pantee Kulu. la dikarang khusus untuk membangkit- kan semangat perang sabil rakyat Acheh melawan penjajah Belanda. Dan menurut penilaian beberapa orang yang ahli, Hikayat Perang Sabil kalau tidak melebihi, sekurang-kurangnya menyamai llliad and Odyssy, yakni karya sastera epos oleh pujangga Homerus di zaman “Epis Era” Yunani sekitar tahun 700 hingga 900 Sebelum Masihi.

Dari huraian-huraian di atas, jelaslah bahawa kesusastera- an Melayu Acheh pada hakikatnya adalah Kesusasteraan Islam, atau setidak-tidaknya kesusasteraan yang berjiwa dan bersemangat Islam. Berdasarkan huraian di atas, tidak dapat diragu- kan lagi bahawa kesusasteraan Melayu Acheh yang bersemangat dan berjiwa Islam itu telah memberi sumbangan yang cukup besar bagi pembinaan bahasa dan kesusasteraan Melayu Indonesia.

Hikayat Pocut Muhammad sebagai sebuah Karya Sastera Besar tidak akan dapat difahami dan dihayati sebaik-baiknya, kalau kita tidak mengetahui sekadarnya tentang sejarah keraja- an Acheh Darussalam (salasilah beberapa orang sultannya) di zaman Acheh mengalami kemunduran. Dalam Hikayat Pocut Muhammad banyak kita temui kata-kata hikmat, ungkapan- ungkapan falsafah, ulasan-ulasan politik dan kias-kias kemasya- rakatan, yang berhubung dengan pemerintahan atau dengan politik raja-raja yang memerintah. Terjadi “perang saudara” pada waktu Tanah Acheh di bawah pemerintahan Dinasti Syarif, tidaklah secara mendadak, tetapi pada hakikatnya ia mulai membenih pada akhir Dinasti Ratu. Untuk memudahkan pe- mahaman dan penghayatan Hikayat Pocut Muhammad yang saya bicarakan ini, maka diturunkan sekilas lintas salasilah para sultanah dari Dinasti Ratu dan para sultan dari Dinasti Syarif. Salasilah itu adalah semasa meletusnya Perang Saudara di Acheh, sebagaimana yang diceritakan dengan jelas dan indah oleh ulama sasterawan, Tengku Lam Rukam.

Latar Belakang Sejarah

Hikayat Pocut Muhammad erat sekali hubungannya dengan sejarah kerajaan Acheh Darussalam dari sejak zaman me- nurunnya. Sebagaimana yang diakui bahawa kerajaan Acheh Darussalam telah mencapai keemasannya di zaman pemerin- tahan Sultan Iskandar Muda Darma Wangsa Perkasa Alam Syah iaitu pada tahun 1016 hingga 1045 Hijrah atau bersamaan 1607 hingga 1636 Masihi. Setelah itu zaman kegemilangan terus menurun, lebih tepatnya setelah mangkat Sultanah Seri Sulthanah Tajul Alam Safiatuddin Johan Berdaulat. Memang telah menjadi “sunnatullah” bagi makhluk-Nya, dimulai dari tiada menjadi ada; dari kecil menjadi dewasa dan jaya; kemudian menjadi tua dan tua bangka keadaannya menjadi lemah, baik rohani ataupun jasmani; dalam dirinya kemudian berkecamuk berbagai-bagai penyakit seperti kecerewetan dan pertentangan kehendak serta keinginan yang tumbuh silih berganti. Demikianlah keadaannya dengan kerajaan Acheh Darus- salam di zaman kemundurannya; pertentangan dan permusuh- an merajai kehidupan bangsa, faham sesat bermaharajalela, rebut kekuasaan sering terjadi dan “ajaran agama Islam” yang menjadi landasan utama bagi kebesaran Acheh di masa mula dan jayanya, sudah tidak diendahkan lagi. Untuk lebih menghayati Hikayat Pocut Muhammad, maka kami berasa amat besar gunanya kalau dalam analisis kami ten- tang hikayat tersebut didahului oleh suatu latar sejarah, yang kamu mulai sejak pemerintahan para Sulthanah.

Fahaman Wujudiah

Dalam masa pemerintahan Sultan Mughaiyat Syah Iskandar Sani, iaitu dari tahun 1045 hingga 1050 Hijrah bersamaan 1636 hingga 1641 Masihi, telah berkembang biak di Acheh satu faham- an yang bernama “Fahaman Wujudiah”. Fahaman Wujudiah ialah suatu fahaman tentang tauhid dari kaum Syiah oleh se- kumpulan yang berfahaman paling ekstrem. Fahaman Wujudiah, pada asalnya ialah “Wahdatul Wujud”, mengandungi pengerti- an bahawa alam ini adalah ciptaan dari bahagian ketuhcnan itu sendiri, la terjadi laksana buih pada puncak ombak dan ia sama dengan teori “pantheism” (serba-dewa) atau “monoteism” (serba esa).

Lawan daripada fahaman “Wuhdatul Wujud” ialah “Wah- datusy Syuhud” yang bererti bahawa alam yang baharu ini, adalah sebagai kesaksian dari adanya Tuhan. Fahaman ini di- anuti oleh kaum ahli sunah waljamaah.

Keduanya, fahaman ini telah tumbuh dari sejak abad per- tama Hijrah. “Wahdatul-Wujud” pada umumnya dianuti oleh sekumpulan aliran politik Syiah. Sementara faham “Wahdatusy Syuhud” pula dianut oleh aliran politik ahli sunah waljamaah.

Golongan-golongan politik Syiah dan ahli sunah telah ikut merebut kekuasaan politik semenjak berdirinya kerajaan Islam Peureulak iaitu pada tahun 225 Hijrah bersamaan 840 Masihi, dan kerajaan Islam Samudera/Pasai pada tahun 433 Hijrah bersamaan 1042 Masihi hingga kepada tertubuhnya kerajaan Acheh Darus- salam. Setiap golongan itu secara silih bergantinya telah dapat merebut kekuasaan ataupun berupaya mempengaruhi pada penguasanya. Kerana itulah, terjadi pula suatu pertentangan yang dahsyat di antara faham “Wahdatul Wujud” oleh golongan Syiah dengan faham “Wahdatusy Syuhud” sebagaimana yang diikuti oleh golongan ahli sunah.

Pertentangan yang mulanya melulu kerana hendak me- rebut kekuasaan politik, lama-kelamaan berubah menjadi per- tentangan akidah, bahkan akhirnya faham “Wahdatul Wujud” menjurus ke arah kesesatan atau penyesatan. Bahkan juga ke arah kekufuran, seperti yang kemudiannya “fahaman Wujudiah” di Acheh terkenal dengan nama “Saleek Buta”.

Perkembangan lebih lanjut tentang fahaman “Saleek Buta” ini telah dapat dipatahkan oleh Sultan Iskandar Sani, dengan bantuan seorang ulama besar atau Qadil Malikul Adil atau Mufti Besar Kerajaan Acheh Darussalam, iaitu Syeikh Nuruddin Ar Raniri, yang datang ke Acheh untuk kali keduanya pada hari Ahad 1 Muharam 1047 Hijrah bersamaan 1638 Masihi.

Pemerintahan Para Ratu (Sulthanah)

Setelah mangkat Sultan Mughayat Syah Iskandar Sani iaitu pada 7 Zulkaedah tahun 1050 Hijrah bersamaan 15 Februari tahun 1641 Masihi, maka Acheh selama empat kali berturut- turut telah diperintah oleh ratu (sultanah), dan yang paling lama di antara mereka ialah Sulthanah Safiatuddin.

Sulthanah Safiatuddin

Seri Sulthanah Tajul Alam Safiatuddin Johan Berdaulat yang memerintah dalam tahun 1050 hingga 1086 Hijrah bersamaan 1641 Masihi, adalah seorang raja wanita yang terbesar dalam sejarah dunia. Dalam menjalankan pemerintahan, sulthanah dibantu sepenuhnya dan Qadli Malikul Adil, Syeikh Nuruddin Ar Raniri, sehingga usaha beberapa ulama Wujudiah yang mengatakan tidak sahnya raja wanita tidak mencapai hasil yang bererti usaha itu dijayakan lagi apabila rakyat mengetahui bahawa “kaum Wujudiah” semata-mata dipergunakan sebagai alat oleh segelintir politikus adventure yang ingin merebut kekuasaan. Segala alasan kaum politikus Wujudiah yang menentang perlantikan raja wanita, dapat ditolak oleh Syeikh Nuruddin bin Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid Ar Raniri, kerana beliau memang seorang ulama besar yang mempunyai pengetahuan luas dalam segala bidang yakni politik, sejarah, tafsir, hadis, fikah, falsafah atau mantik, tasawuf dan sebagainya.

Untuk menolak kefahaman atau alasan mereka, beliau telah mengarang banyak kitab. Di antara dan yang terpenting untuk mengatasi masalah ini ialah Kitab At-Tibyan. la adalah sebuah kitab yang sangat popular di Acheh. Baik kerana alasan politik ataupun kerana alasan akidah, Sulthanah Safiatuddin tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan keras dan tegas terhadap kaum Wujudiah. Kitab-kitab karangan kaum Wujudiah adalah dilarang untuk dibaca oleh umum. Sungguhpun demikian, fahaman Wujudiah tetap menjalar di Acheh, terutama sekali di daerah-daerah yang jauh dari ibu kota, seperti di Sumatera Barat, Sumatera Selatan, Sumatera Timur dan di Tanah Melayu. Disebabkan tidak berhasil di Acheh, kaum Wujudiah telah mem- buat pengaduan tentang sikap “raja wanita” itu kepada Syarif dan Qadli Mekah. Malangnya pengaduan mereka itu tidak memberikan apa-apa hasil.

Setelah lebih kurang 24 tahun menetap di Acheh, maka Syeikh Nuruddin Ar Raniri kembali semula ke Gujerat, iaitu tem- pat kelahirannya. Masa 24 tahun tinggal di Acheh itu diperguna- kan dengan sebaik-baiknya untuk berbakti. Di samping mem- bantu sulthanah dan mengembangkan dakwah Islamiah, beliau telah mengarang hampir 30 buah kitab, dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Suatu hasil karyanya yang terbesar ialah Bustanus Salatin.

Kepergian Syeikh Nuruddin dari kehidupan negara dan masyarakat di Acheh telah diganti pula oleh seorang ulama besar, negarawan dan ahli hukum terbesar iaitu Syeikh Abdurrauf Fansuri. Beliau lebih dikenali dengan Lakab Teungku Syiah Kuala. Sebelum secara rasmi menggantikan Syeikh Nuruddin Ar Raniri sebagai Qadli Malikul Adil atau Mufti Besar kerajaan Acheh Darussalam, Syeikh Abdurrauf Syah Kuala dengan menyamar, telah mengelilingi Acheh dan wilayah-wilayah perlindungannya untuk membanteras fahaman Wujudiah. Usaha secara diam-diam ini ternyata amat berhasil sekali, kerana ia dilakukan dengan cara yang amat bijaksana. Seperti halnya dengan Syeikh Nuruddin Ar Raniri, Syeikh Abdurrauf di samping membantu Sulthanah Safiatuddin dan penggantinya, beliau juga telah mengarang banyak kitab-kitab yang menyentuh berbagai-bagai masalah. Di antaranya yang sangat termasyhur ialah Kitab Miraatuth Thullab iaitu sebuah kitab hukum yang terbesar dalam zamannya dan Tafsir Turjumanul Mustafid, sebuah tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu. Setelah memerintah selama 36 tahun, Seri Sulthanah Tajul Alam Safiatuddin mangkat pada hari Selasa tanggal 1 Syaaban tahun 1086 Hijrah, bersamaan 23 Oktober 1675 Masihi.

4 1 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments